kurikulum dan penilaian dalam pendidikan islam ini merupakan salah satu subjek lengkap fakulti bagi pelajar Pendidkan Al-quran dan pendidikan islam atau ringkasnya `PIPAQ` . Subjek ini diwujudkan bagi mendedahkan kepada pelajar secara praktikal tentang kurikulum pendidikan islam dari pelbagai sudut termasuklah aspek perlaksanaan dan penilaian subjek pendidikan islam itu sendiri di sekolah. Pelbagai tugasan yang diberikan diharapkan dapat melatih pelajar PIPAQ membiasakan diri dengan suasana alam pekerjaan yang sebenar.

Monday, March 16, 2009

Bersama Ketua Penyelaras pendidikan islam



Rakaman klip video sebagaimana yang dilihat diatas sebahagian daripada aktiviti yang kami jalankan sepanjang proses kajian ini dilaksanakan. Situasi yang berlaku merupakan suatu interaksi dan perjumpaan bersama ketua penyelaras pendidikan islam serta beberapa orang ustaz dan ustazah yang terlibat sama dalam memastikan subjek pendidikan islam mencapai keberkesanannya pada peringkat yang wajar.

Soalan Kaji Selidik


Klip video sebagaimana yang anda dapat lihat di atas merupakan rakaman situasi yang berlaku semasa proses menjawab soalan kaji selidik yang kami edarkan kepada pelajar tingkatan 5 di SMK Bandar Rinching. Tujuan borang soal selidik tersebut diedarkan untuk mengkaji , mengetahui serta peka terhadap sejauhmana proses pengajaran dan pembelajaran bagi matapelajaran Pendidikan islam disekolah memberi kesan kepada aspek jasmani, emosi , rohani dan intelek JERI pelajar . Disamping ingin mendapatkan maklumat tentang keberkesanan serta kerelevanan kurikulum pendidikan islam dalam sukatan yang diajar dapat membentuk insan yang kamil.

Ragam Pelajar Lelaki


Rakaman ini merupakan soal selidik secara informal yang kami lakukan terhadap salah seorang pelajar lelaki . Soalan yang ditanya fokus kepada aspek corak pembelajaran yang berkesan bagi seorang pelajar serta cara menjawab peperiksaan untuk score subjek pendidikan islam.

Ragam Pelajar Perempuan


Klip video di atas merupakan salah bentuk temubual secara informal terhadap seorang pelajar tingkatan 5 di SMK bandar Rinching yang mewakili pelajar perempuan . Diantara interaksi yang berlaku menumpukan kepada aspek sebab dan tujuan serta kepentingan subjek pendidikan islam itu sendiri menurut pandangan mereka.

Interaksi bersama pelajar


Rakaman ini merupakan salah satu bentuk aktiviti dan pengisian yang kumpulan kami jalankan disamping membuat kajian dan soal selidik berkaitan perlaksanaan kurikulum pendidikan islam di dalam bilik darjah . ineteraksi yang anda lihat dalam klip video merupakan inateraksi diantara salah seorang kumpulan kami (Azura ) dengan para pelajar .

Temubual Bersama Ustazah


Rakaman yang anda dapat lihat diatas merupakan salah satu sesi temubual yang kami jalankan berkaitan tentang kurikulum pendidikan islam secara umum dengan mengambil kira semua aspek yang berkaitan. Temubual ini adalah diantara seorang ustazah di SMK Bandar Rinching, Seminyih iaitu usatzah Asmani binti Hj Mohd Amin serta dua orang ahli panel penemubual iaiti Abdul Halim Manjid dan Hazwani Hasyim.

Isi Temubual


1) Maklumat dan latar belakang pendidikan guru

Responden pertama merupakan Ustaz Mohd Amri bin Mohd Husin. Berasal dari Kelantan. Mula berkhidmat sebagai guru Pendidikan Islam pada tahun 1993. Posting bermula di Sandakan Sabah pada tahun 1993 selama 3 tahun 6 bulan. Kemudian menyambung pelajaran peringkat ijazah di UKM. pada tahun 2000. Kemudian ditempatkan di Seremban selama 2 tahun setengah, bertukar ke SMK Berimbun, Cheras selama 4 tahun, seterusnya bertukar ke SMK Bandar Rinching pada tahun 2007 sebagai Guru Pendidikan Islam.

Responden kedua merupakan Ustazah Asni binti Hj Mohd Amin. Berasal dari Kelantan. Selepas SPM menyambung pelajaran ke KUSZA, kemudian meneruskan peringkat ijazah di UKM dalam opsyen pengajian Arab dan Tamadun Islam, seterusnya menyambung pelajaran peringkat diploma pendidikan di UKM pada tahun 2000 seterusnya posting pada tahun 2001.

Responden ketiga merupakan Ustaz Razak bin............ Berasal dari Sabak Bernam, Selangor. Memulakan pendidikan di Sekolah Kebangsaan Kampong Telok 2, Sabak Bernam, Selangor. Kemudian melanjutkan pelajaran di SMAR Parit Baru, Sabak Bernam. Kemudian menyambung pelajaran di MAAHAD Salahuddin Batu 38 Sabak Bernam. Pada tahun 1990 melanjutkan pelajaran ke MPTAA di Kuantan Pahang. Mengajar di Sekolah Rendah selama 5 tahun. Pada tahun 1993-2000 menyambung pelajaran di UKM. Posting di SMK Bukit Indah di Ampang. Pada tahun 2000-2009 lebih kurang 5 buah sekolah telah mengajar dan sekarang di SEMUHSIN.


2) Persepsi guru Pendidikan Islam terhadap tujuan kandungan dan penilaian bagi kurikulum yang ada di sekolah

Responden pertama menyatakan bahawa tujuan kandungan dan penilaian bagi kurikulum disekolah adalah supaya pelajar boleh membaca al-Quran, boleh menulis tulisan jawi dengan baik, mengetahui asas-asas fardhu ain dan boleh mengaplikasikan apa yang dipelajari di sekolah dengan kehidupan seharian..

Responden kedua pula berpendapat bahawa ianya mestilah mencakupi seluruh aspek sama ada dalam tilawah, akidah, ibadah, sirah dan sebagainya. Ia perlu diperbaikkan lagi dengan mewujudkan situasi sebenar pada pelajar tersebut. ( mengaplikasikan secara amali ).

Manakala bagi responden yang ketiga mengatakan bahawa dalam kandungan buku teks yang kita gunakan sekarang terdapat 6 bahagian seperti tilawah, hadis, sirah dan sebagainya. Setiap bidang pula ada peranan masing-masing. Ia penting bagi pelajar-pelajar Islam. Sebagaimana yang kita lihat dalam senario hari ini masih terdapat segelintir pelajar yang buta dalam Pendidikan Islam serta lemah dalam jawi samada yang belajar dikawasan pedaman mahupun bandar, jadi kita boleh mengajar mereka berdasarkan kepada bidang dan tahap masing-masing.



3) Kekuatan yang terdapat pada Kurikulum Pendidikan Islam

Responden pertama bersetuju untuk mengatakan bahawa Sukatan yang disediakan oleh Kementerian khususnya JAPIM bersesuaian dengan tahap pemikiran pelajar. Isi kandungannya pula menepati kehidupan dunia dan akhirat.

Responden kedua pula menganggap bahawa PAFA merupakan suatu bentuk kurikulum yang bersifat dominan. Hal ini disebabkan kandungannya yang mencakupi semua bidang ibadat dan bersesuaian dengan tahap pembelajaran pelajar. walaubagaimanapun memandangkan aspek pengajarannya hanya tertumpu kepada sekolah rendah , maka seeloknya diteruskan kepada peringkat menengah agar pembelajaran pelajar berkesinambungan dan berterusan.

Responden ketiga pula mempunyai pandangan dan pernyataan yang sedikit berbeza, beliau menagatakan bahawa dalam kandungan kurikulum yang tersedia banyak mengajar guru-guru supaya menjadikan pelajar insan yang cemerlang dalam JERI. Setakat ini kita masih lagi suka untuk menggunakan Kurikulum yang Kementerian berikan.



4) Kelemahan yang terdapat pada Kurikulum Pendidikan Islam

Responden pertama berpendapat bahawa kelemahan kurikulum pendidikan islam yang tersedia sekarang antaranya ialah sukatan yang disediakan terlalu banyak sehingga kadang-kadang guru khususnya Guru Pendidikan Islam tidak sempat memberi fokus pada Tilawah al-Quran ( bacaan al-Quran ). Tumpuan diberikan lebih kepda peperiksaan.

Responden kedua pula merasakan tidak puas hati memandangkan hanya satu masa diperuntukkan untuk amali dan jawi. Maka masalah kekangan masa yang wujud menyebabkan pelajar tidak sempat mencapai objektif pembelajaran mereka.

Responden ketiga bersetuju untuk mengatakan bahawa dari segi tilawah dan jawi agak ketinggalan kerana dua subjek ini penting apabila pelajar sudah memasuki sekolah menengah ia tidak boleh berundur kebelakang lagi, jadi ia amat merumitkan. Jawi juga bermasalah, apabila pelajar tidak pandai jawi automatik tilawah pun mereka tidak boleh.. Dari segi atas kertas nampak cantik, tapi sebenarnya sukatannya agak banyak dengan tilawah, sirah, akhlak, PAFA kesemuanya tersekat dengan masa. Kadang-kadang pada akhir tahun terpaksa diadakan kelas tambahan untuk menghabiskan silibus. Dari segi pelajar ada yang lemah dan yang pandai jadi susah sedikit untuk menstabilkannya.

5. Masalah-masalah yang dihadapi guru-guru Pendidikan Islam dalam pelaksanaan Kurikulum Pendidikan Islam yang digunakan di sekolah tersebut

Menurut responden pertama, masalah-masalah yang dihadapi oleh guru-guru Pendidikan Islam dalam pelaksanaan Kurikulum Pendidikan Islam yang digunakan di sekolah tempat beliau mengajar ialah beliau telah mengkategorikan masalah tersebut kepada tiga bahagian iaitu masalah pelajar, guru sekolah dan juga sekolah itu sendiri. Bagi masalah pelajar, beliau menyatakan asas utamanya ialah al-Quran dan Jawi di mana pelajar tidak boleh membaca dan mengeja jawi dengan baik yang mana ini akan memberi kesan kepada Pendidikan Islam itu sendiri. Bagi masalah guru pula, beliau menyatakan bahawa guru mempunyai kekangan dari segi masa di mana mereka terlibat dengan aktiviti-aktiviti luar seperti sukan, perkhemahan, merentas desa dan sebagainya sama ada secara langsung atau tidak langsung. Bagi masalah sekolah (latar belakang dan prasarana sekolah), beliau menyatakan bahawa sekolah tempat beliau mengajar telah mendapat kerjasama daripada pihak pentadbir tetapi mempunyai masalah pula dari segi kekurangan bilik darjah iaitu tiada bilik yang dikhususkan untuk Pendidikan Islam di mana guru-guru Pendidikan Islam terpaksa mencari bilik sendiri untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran seperti di surau.

Menurut responden kedua, beliau menyatakan masalah yang dihadapi adalah dari segi kekurangan bahan pengajaran dan pembelajaran (bahan bantu mengajar). Beliau turut menyarankan agar PPSMI dapat memberikan setiap orang guru agama sebiji laptop. Selain itu adalah masalah pelajar iaitu bergantung kepada pelajar itu sendiri. Beliau menyatakan peranan guru di sini amat penting di mana mereka perlu menarik minat pelajar, berdamping dengan pelajar dan membimbing mereka dengan percakapan yang baik.

Menurut responden ketiga, beliau menyatakan masalah yang dihadapi juga adalah dari segi masalah kekangan atau tersekat dengan masa. Beliau menyatakan bahawa atas kertas yang diberikan oleh Kementerian itu menjadi (mengikut apa yang telah ditetapkan oleh Kementerian) tetapi sukatan pelajaran yang diberikan agak banyak di mana ia ditambah pula dengan Perkara Asas Fardhu Ain (PAFA). Oleh yang demikian, pada akhir tahun guru-guru terpaksa mengadakan kelas tambahan bagi menghabiskan sukatan pelajaran. Selain itu, wujudnya masalah pelajar yang mempunyai pelbagai tahap kecerdasan iaitu terdapat pelajar yang cerdik, sederhana dan lemah. Beliau juga menyatakan terdapat masalah dari segi bantuan iaitu laptop. Bagi guru-guru yang baru mengajar, bantuan laptop tidak dapat disediakan. Oleh yang demikian, mereka agak sukar untuk membuat bahan bantu mengajar yang lebih menarik.



6. Bentuk-bentuk penilaian yang diamalkan oleh guru Pendidikan Islam dalam Kurikulum Pendidikan Islam.

Menurut responden pertama, bentuk-bentuk penilaian dalam kelas yang biasa diamalkan adalah melalui bacaan al-Quran secara individu dan diikuti oleh lisan (soal jawab) dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Kemudian, Ujian Setara 1 dan 2 juga dilaksanakan pada pertengahan dan akhir tahun. Selain itu, terdapat juga penilaian daripada PPD dan JPN di mana soalan percubaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah disediakan.

Menurut responden kedua, bentuk-bentuk penilaian yang diamalkan oleh beliau ialah dengan menyediakan Ujian Bulanan untuk para pelajar. Kemudian melakukan pembentukan kumpulan di mana setiap kumpulan terdiri daripada 4 atau 5 orang ahli. Menurut beliau lagi, pembentukan kumpulan ini dilakukan bagi kelas yang pandai di mana satu tajuk akan diberikan supaya mereka mencari bahan melalui internet atau pusat sumber. Seterusnya, beliau akan memberi masa dalam dua atau tiga hari sebelum pembentangan dengan menggunakan lcd dilakukan. Bagi kelas yang lemah, beliau akan melakukan dengan cara yang lain. Beliau juga menyatakan nota dan latihan sentiasa diamalkan dan dipantau dari masa ke semasa. Seterusnya, beliau akan menyemak buku setiap pelajar dan meminta mereka untuk membuat pembetulan jika ada.

Menurut responden ketiga, bentuk-bentuk penilaian yang beliau amalkan pula adalah secara lisan ataupun latih-tubi. Contohnya dalam bab Tilawah al-Quran, beliau akan bertanya kembali kepada pelajar ayat hafazan atau maksud perkataan. Selain itu, Ujian Bulanan atau Ujian Setara akan dilaksanakan sebanyak empat kali dalam satu tahun di mana ia akan dilakukan secara serentak. Ujian Pertengahan Tahun dan Akhir Tahun juga turut dilaksanakan. Bentuk-bentuk penilaian yang lain adalah dalam bentuk lakonan atau simulasi. Contohnya dalam bab Akhlak Islamiah yang berkaitan dengan suasana. Beliau turut menyatakan bahawa bentuk penilaian yang dibuat adalah lebih kepada lisan.



7. Cadangan untuk penambahbaikan dan meningkatkan pelaksanaan serta penilaian dalam Kurikulum Pendidikan Islam

Menurut responden pertama, beliau mencadangkan agar pihak yang berwajib seperti PPD dan JPN sentiasa memberi motivasi kepada guru-guru di samping menghantar guru-guru Pendidikan Islam menghadiri kursus seperti Kursus Tarannum, Kursus Tajwid, Kursus Tahsin Solat dan sebagainya. Selain itu, beliau turut menyarankan agar mesyuarat sentiasa diadakan dengan guru-guru Pendidikan Islam di peringkat zon dan daerah. Menurut beliau, antara perkara yang perlu dibincangkan dalam mesyuarat tersebut ialah berkenaan Panitia Pendidikan Islam dan cara-cara untuk mementapkan lagi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

Menurut responden kedua, cadangan yang dikemukakan oleh beliau untuk penambahbaikan dan meningkatkan pelaksanaan serta penilaian dalam Kurikulum Pendidikan Islam ialah mewujudkan suasana yang sebenar iaitu membawa pelajar-pelajar keluar dari situasi di sekolah. Contohnya dalam bab Haji di mana guru boleh membawa pelajar-pelajar mengiringi satu benda sebagai contoh atau model bagaimana tawaf itu dilaksanakan. Oleh yang demikian, para pelajar akan merasa sendiri bagaimana tawaf itu dilaksanakan ketika menunaikan ibadah haji di Mekah.

Menurut responden ketiga, beliau menyatakan bahawa pelaksanaan serta penilaian dalam Kurikulum Pendidikan Islam sudah sedia baik seperti apa yang diberikan oleh Kementerian. Tetapi beliau mencadangkan agar perbelanjaan untuk membeli peralatan pengajaran dan pembelajaran serta buku-buku yang boleh membantu pelajar-pelajar untuk menghafaz dinaikkan sedikit.



8. Bagaimana pelaksanaan Kurikulum Pendidikan Islam mengikut bab

Menurut responden pertama, beliau membahagikan pelaksanaan Kurikulum Pendidikan Islam kepada dua bahagian besar iaitu Tilawah al-Quran dan Ulum Syariah. Tetapi beliau hanya menjelaskan satu bahagian sahaja iaitu bab Tilawah al-Quran. Beliau menyatakan selain pengajaran dan pembelajaran, beliau turut menggalakkan pelajar-pelajar mengikuti program yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Contohnya program ”Ibadat Solat” di mana melalui program ini setiap pelajar akan dibekalkan setiap seorang sekeping kad solat. Melalui kad solat yang diberikan, pelajar-pelajar perlu membuat laporan solat mereka setiap hari dan kemudiannya ditandatangani oleh ibu dan bapa mereka. Menurut beliau lagi, program tersebut dilaksanakan di sekolah tempat beliau mengajar tetapi pelaksanaannya perlu dimantapkan lagi.

Menurut responden kedua, beliau menyatakan pelaksanaan dalam bab Tilawah al-Quran adalah dengan cara mengenalpasti pelajar yang tahu dan tidak tahu membaca al-Quran. Setelah dapat dikenalpasti, pelajar yang tidak tahu membaca al-Quran dengan baik akan diberi bimbingan dengan cara mengajar mereka secara peribadi di rumah. Dalam bab Ibadah pula, beliau menyatakan ia lebih kepada amali. Contohnya Solat Hajat, Solat Sakit dan sebagainya.

Menurut responden ketiga, pelaksanaan Kurikulum Pendidikan Islam dalam bab Tilawah al-Quran adalah dengan cara melihat kepada rancangan iaitu apakah langkah pertama yang pelu dilakukan. Contohnya pada aras satu, guru melihat sama ada pelajar tersebut pandai atau lemah. Kemudian guru mengasingkan pelajar yang pandai dan lemah di mana pelajar yang lemah akan diajar dengan cara yang berbeza dengan pelajar yang pandai iaitu cara bimbingan yang diberikan tidak seperti pelajar yang pandai.


8.1 Soalan Tambahan ( Aspek jawi dalam pengajaran dan pembelajaran)

Menurut responden pertama, beliau menyatakan dalam pengajaran dan pembelajaran, waktu yang diperuntukkan untuk Pendidikan Islam bagi menengah rendah ialah enam masa dan menengah atas empat masa. Menurut beliau lagi, jawi dimasukkan dalam dua masa tambahan iaitu selain daripada amali dan PAFA.

Menurut responden kedua, beliau menyatakan pelajar yang lemah dalam tulisan jawi dapat dikesan oleh guru melalui pembelajaran Tilawah al-Quran. Oleh yang demikian, pada peringkat permulaan guru akan membimbing pelajar mengenal huruf terlebih dahulu iaitu huruf –huruf hijaiyah dan kemudian diikuti pula dengan menyambung huruf (mengajar secara berperingkat-peringkat).

Menurut responden ketiga, beliau menyatakan dalam pengajaran dan pembelajaran, guru-guru Pendidikan Islam akan melihat tahap pelajar mereka terlebih dahulu. Kemudian beliau mencadangkan agar pelajar-pelajar membeli buku ”Asas Jawi” yang dijual di luar sekolah sebagai panduan kepada para pelajar untuk mempelajari jawi.



9. Bagaimana pihak sekolah atau pentadbir membantu guru Pendidikan Islam

Menurut responden ketiga, kerjasama yang diberikan oleh pihak sekolah atau pentadbir di sekolah tempat beliau mengajar adalah amat baik di mana mereka membantu guru-guru Pendidikan Islam dalam memperbesarkan surau sekolah, dinding-dinding surau dicat baru dan diletakkan juga ayat-ayat al-Quran, doa-doa dan ayat-ayat wudhuk di dalam dan di luar surau.



10. Bagaimana guru membuat JSU

Menurut responden ketiga, terdapat tiga peringkat dalam membuat JSU iaitu pertama; guru perlu melihat kepada teks terlebih dahulu, kedua; guru hendaklah melihat kepada soalan yang dibina dan yang ketiga; guru dikehendaki merujuk JSU.



11. Adakah bahan bantu mengajar (BBM) sesuai digunakan dalam Kurikulum Pendidikan Islam

Menurut responden ketiga, bahan bantu mengajar (BBM) yang sesuai digunakan dalam Kurikulum Pendidikan Islam adalah dengan menggunakan teknologi masa kini di samping menggunakan benda-benda yang maujud. Contohnya memperdengarkan radio kepada pelajar semasa sesi pengajaran dan pembelajaran ataupun membawa pelajar-pelajar ke padang untuk memperlihatkan kepada mereka benda-benda yang maujud. Menurut beliau lagi, kaedah pengajaran dan pembelajaran secara lakonan kurang sesuai digunakan kerana kadang-kadang terdapat pelajar yang kurang memberikan kerjasama disebabkan malu untuk berhadapan di khalayak ramai.



12 ) Kaedah pengajaran dan pembelajaran yang sering digunakan di dalam kelas

Responden pertama mengatakan kebiasaan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang digunakan ialah perbincangan kumpulan dalam pelbagai arah dan juga kaedah yang berpusatkan pelajar.

Manakala responden kedua pula berpendapat bentuk dan corak pengajaran adalah terpulang kepada tajuk yang hendak diajar. Namun lazimnya menggunakan kaedah sumbang saran dan bersoal jawab. Di akhir pembelajaran pelajar dikehendaki membuat rumusan dan membuat nota di rumah, seterusnya guru akan menyemak nota atau latihan yang telah diberikan dari masa ke semasa. Selain itu kaedah kumpulan atau perbincangan turut digunakan disusuli dengan pembentangan oleh para pelajar.

Responden ketiga menyatakan bahawa guru lama lebih senang menggunakan kaedah `chalk and talk` sahaja, walaubagaimanapun jika kita lihat hari ini, pelajar lebih gemar jika guru dapat mengaplikasikan kecanggihan teknologi yang sedia ada seperti persembahan pembelajaran melalui multimedia , power point , CD Room atau sebagainya. Selain itu kaedah perbincangan juga turut dibuat. Biasanya dibuat terhadap kelas yang baik dan sederhana bagi kelas yang lemah agak sukar sedikit. Jadi ia bergantung pada kelas mana yang kita mahu ajar.



13. Bagaimana penilaian PAFA dilakukan oleh guru Pendidikan Islam

Menurut responden ketiga, beliau menyatakan bahawa pelaksanaan PAFA secara keseluruhannya adalah bagus dan banyak membantu pelajar-pelajar lebih memahami pemahaman tentang Islam itu sendiri. Menurut beliau lagi, PAFA sudah dipelajari oleh pelajar-pelajar semenjak dari bangku sekolah rendah dan kemudian dibawa ke peringkat menengah. Kadang-kadang pelajar lupa apa yang telah dipelajari oleh mereka ketika di sekolah rendah. Jadi, apabila mereka naik ke sekolah menengah, pengisian PAFA itu ditambah lagi oleh guru Pendidikan Islam walaupun tajuk yang dipelajari semasa di sekolah rendah adalah sama.




14) Pendekatan yang sering digunakan bagi mengatasi masalah pelajar yang bermasalah dalam Pendidikan Islam

Responden pertama mengatakan bahawa pendekatan yang sering digunakan oleh guru dalam mengatasi pelajar lazimnya menggunakan kaedah extra latih tubi serta program mentor menti.

Responden kedua pula berpendapat ianya adalah tertakluk kepada pelajar, contohnya pelajar yang tidak boleh membaca jawi saya akan membuat kelas celik jawi. Celik jawi ini bermula dari Iqra’. Ia dilakukan diluar waktu persekolahan.

Manakala responden ketiga mempunyai penilaian yang agak berbeza . Hal ini disebabkan beliau lebih bersetuju supaya pelajar diberikan banyak belaian dan perhatian. Dari segi pembelajaran pula, kita tidak seharusnya bersikap terlampau baik atau `low profile` sangat, sebaliknya perlu ada kelembutan dalam ketegasannya. Yakni menasihati dan mengajar secara berhikmah.




15. Bagaimana keputusan peperiksaan Pendidikan Islam berbanding matapelajaran yang lain

Menurut responden ketiga, beliau merupakan seorang guru yang dikatakan masih baru bertugas di sekolah tempat beliau mengajar sekarang. Oleh yang demikian, beliau kurang maklum mengenai keputusan peperiksaan Pendidikan Islam di sekolah tersebut berbanding matapelajaran yang lain. Menurut beliau, antara kelas yang terdapat di sekolah tempat beliau mengajar ialah kelas KAA, KRK, 1A, 1B, 1C dan 1D. Kelas KAA dan KRK digelar sebagai kelas Wafi di mana kelas KAA tergolong dalam kelas yang kedua dan kelas 1A, 1B, 1C dan 1D pula tergolong dalam kelas yang ketiga. Kelas-kelas yang beliau nyatakan adalah kelas yang dapat menyumbang kepada keputusan peperiksaan yang baik. Menurut pengetahuan beliau setelah melihat keputusan peperiksaan pelajar di papan kenyataan sekolah, beliau mendapati bahawa keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) boleh dikatakan cemerlang di mana tiga puluh lebih orang pelajar telah mendapat 7A dan 8A.



16) JQAF

Responden pertama mengatakan bahawa program JQAF mempunyai kesan positif yang sangat baik pada pelajar khususnya yang akan memasuki sekolah menengah. Ini memudahkan guru sekolah menengah untuk mengajar mereka kerana mereka sudah mempunyai asas dalam bidang tersebut. Justeru itu guru hanya sebagai pembimbing kepada perkara-perkara yang lebih mendalam.

Responden kedua pula berpendapat ianya merupakan suatu bentuk program yang baik, walaubagaimanapun sekiranya dapat diteruskan ke peringkat menengah adalah lebih baik dan sangat wajar.

Responden ketiga menyatakan guru Pendidikan Islam tidak mampu mengawal pelajar dan menampung matapelajaran Pendidikan Islam. Apabila guru jQAF ada mereka boleh menampung guru Pendidikan Islam.yang sedia ada.Sebenarnya pelajar ini, mereka mempunyai kekuatan bila terdapatnya sekolah pagi dan petang. Ianya amat bagus sekiranya diteruskan ke peringkat menengah.



17. Kesimpulan tentang Kurikulum Penilaian Pendidikan Islam

Menurut responden pertama, beliau membuat kesimpulan bahawa sukatan yang disediakan oleh Kementerian amat baik dan berkesan kepada pelajar-pelajar khususnya zaman ini kerana dalam agama Islam itu sendiri sudah merangkumi semua aspek kehidupan. Contohnya Akidah, Ibadah, Ajaran Sesat, Ibadah Haji dan Ibadah Solat. Pelajar-pelajar boleh mengaplikasikan apa yang telah dipelajari oleh mereka semasa di sekolah sehingga ke akhir hayat. Contohnya menyempurnakan jenazah di mana pelajar boleh mengaplikasikan apa yang telah dipelajari oleh mereka secara amali.

Menurut responden kedua, beliau menyatakan bahawa Kurikulum Penilaian Pendidikan Islam adalah baik di mana guru merupakan orang yang bertanggungjawab untuk mengaplikasi dan merealisasikan apa yang telah termeterai dalam kurikulum tersebut. Menurut beliau lagi, orang lain tidak boleh mengubahnya tetapi guru itu sendiri yang perlu mengubahnya.

Menurut responden ketiga, beliau menyatakan secara keseluruhannya Kurikulum Penilaian Pendidikan Islam adalah baik tetapi guru perlu bekerja keras untuk mendidik pelajar-pelajarnya kerana pelajar mempunyai tahap kecerdasan yang pelbagai. Guru-guru perlu menyediakan bahan bantu mengajar (BBM) yang baik dan sentiasa bersedia dari segi fizikal dan juga mental. Melalui persediaan-persediaan tersebut, pelajar-pelajar boleh dididik dan akan lebih memahami tentang Islam yang sebenarnya.



RUMUSAN

Hasil daripada analisa tersebut, guru-guru Pendidikan Islam kebanyakannya berpuas hati dan bersetuju dengan kandungan dan penilaian kurikulum Pendidikan Islam yang ada sekarang ini kerana ia mencakupi seluruh aspek sama ada untuk bekalan hidup di dunia mahupun di akhirat kelak. Namun ia perlu kepada penambahbaikan dari segi pelaksanaan serta penilaian kurikulum tersebut. Di samping itu, peranan pihak yang berwajib seperti PPD dan JPN yang sentiasa memberikan motivasi serta menghantar guru-guru Pendidikan Islam menghadiri kursus menyumbang kepada penambahbaikan dari segi pelaksanaan serta penilaian dalam Kurikulum Pendidikan Islam.

Kesan yang diperolehi daripada pelaksanaan serta penilaian kurikulum tersebut adalah para pelajar akan lebih memahami tentang hakikat Islam yang sebenarnya di samping ilmu Fardu Kifayah yang lain yang dituntut dalam Islam itu sendiri. Jesteru itu, guru merupakan orang yang bertanggungjawab dalam mengaplikasi dan merealisasikan apa yang telah termeterai dalam kurikulum tersebut. Melalui kurikulum yang dapat membawa kesan positif yang begitu efektif, maka ia akan dapat melahirkan modal insan yang mencakupi keseluruhan aspek yang terdapat dalam Falsafah Pendidikan Islam dan seterusnya menjadi insan yang kamil lagi beriman dan bertaqwa kepada PenciptaNya.